Memetik ulasan dari Utusan Malaysia pada hari ni aku dapat rasakan yang cubaan untuk mencemar kedaulatan negara ini nampaknya semakin berleluasa. Bukanlah niat aku untuk mengutuk sebilangan kaum mahupon bangsa di blog ini. Meskipun begitu, aku amat kesal dengan tindakan yang cuba mereka lakukan.

Sebagai bangsa di bumi bertuah, apa yang menjadi sejarah dan titik hitam dalam mencorakkan kemakmuran negara ini aku rasakan seolah-olah sedang dikitar semula. Peranan secara halus sedang diatur untuk mengorak langkah penawanan negara tercinta tanpa kita sedari. Aku tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara ini. Cuma aku mahu kamu semua nilaikan kembali artikel yang aku petik dari Utusan Malaysia.

Hiris perasaan anggota ATM

SEREMBAN 25 Mei – Sebarang usaha membawa masuk bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini menghiris perasaan seluruh warga anggota dan bekas anggota serta keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut juga meningkatkan semula rasa kemarahan meluap-luap mereka terhadap Chin Peng dan PKM.

Pada masa ini, katanya, seluruh anggota, bekas anggota dan keluarga ATM serta pasukan keselamatan lain menolak sebarang usaha membawa masuk Chin Peng.

“Saya mewakili warga ATM, sama ada yang sedang bertugas atau yang telah tamat perkhidmatan, berasa amat terhiris jika keputusan dibuat untuk Chin Peng diberi taraf kewarganegaraan.

“Ini kerana lebih 50,000 anggota pertahanan termasuk tentera dan polis terkorban akibat angkara pengganas PKM. Jika ini berlaku, rasa terluka yang amat sangat di kalangan anggota dan keluarga ATM,” kata beliau. -[Selanjutnya]-

Secara ikhlas aku katakan, sememangnya aku rasa amat terkilan dan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan ini. Langkah drastik perlu diambil dengan segera untuk mengekalkan kedaulatan negara tercinta. – Azman Ishak