Diingatkan kepada sesiapa yang mengalami lemah semangat, mudah nak pitam… takut tengok darah… sila jangan baca selanjutnya. Catatan pada kali ini adalah catatan peribadi yang mungkin boleh menimbulkan rasa ketidak selesaan sesetengah pihak. Kepada remaja-remaja sekalian yang sudah akhil baligh, saya dedahkan ini untuk pengetahuan anda. Hargai dan hormati ibu bapa anda biar nyawa dihujung pedang mahupon muncung senapang. Pertahankan mereka hingga ke titisan nyawamu terakir.

Nota Ringkas: Catatan ini terlampau panjang berjela. Tiada paksaan sekiranya anda tidak menyukainya. Kerana kebenaran adalah pahit untuk diterima.

Erti Sebuah Pengorbanan Si Ibu.

Salam ceria untuk pembaca Blog Orang Dewasa. Pada kali ini motif penerangan dan penceritaan saya amatlah jelas di perenggan di atas. Sakit perit bertarung nyawa seorang ibu dalam melahirkan anak dari hasil percintaan bersama suami tersayang. Kamu boleh Google ilmu seperti ini, tapi pengalaman yang di sampaikan mungkin berbeza.

Sejak lewat malam kemarin si ibu dah mula menunjukkan tanda sakit-sakit nak bersalin. Saya menyangkakan itu adalah perkara normal seperti yang selalu. Saya tidak menjangkakan sama sekali bahawa ianya sebegini cepat. Dalam separa persediaan telah dibuat… saya menjadi agak bingung apabila tiba di pagi Sabtu (07/08/2010 – 03.15) isteri tercinta dah mula mengadu sakit perut yang teramat sangat.

Sakit yang bukan kepalang kadang-kala sesekali datang menyucuk membuatkan si Ibu berasa alangkah ringannya beban yang ditanggungi itu jika boleh diletakkan ke tilam buat sementara waktu. Tapi manakan berlaku selagi belum sampai serunya. Tak ketahuan pada pagi Sabtu kemarin, sepatutnya si ibu melaksanakan tugasnya di Hospital PPUM. Disebabkan keadaan tidak mengizinkan saya mencadangkan supaya segera membawanya berjumpa dengan doktor di klinik bersalin tempat kerjanya.

Seperti yang dijangkakan, setelah laporan dibuat, si ibu terus di tahan di wad untuk pemeriksaan rapi. Dari sini bermula lah babak pertarungan si ibu menahan sakit dan azab. Ditahan dari jam 07.30 pagi (07/08/2010), kemudiannya dipindahkan ke wad sementara sebelum ke wad bersalin. Kira-kira jam 1.30 pagi, si ibu mula sms saya dan memberi tahu terlampau sakit menyucuk-nyucuk. Perut sekejap keras.. sekejap kendur dalam beberapa saat. Saya yang ketika itu cuma dibenarkan menunggu di depan pintu masuk wad sementara, lantas mencadangkan isteri tercinta supaya segera memanggil jururawat bertugas.

Bukaan demi bukaan (tak perlu saya terangkan, kerana ini adalah blog orang dewasa)… hampir beberapa jam menunggu dalam resah dan gelisah telah pun saya catatkan pada catatan di sini. Rasa agak terkilan sebenarnya, saya tidak dibenarkan masuk ke dalam wad bersalin. PPUM masih belum di wartakan sebagai Hospital Mesra Suami. Memang kalau boleh saya tak nak isteri tercinta keseorangan tanpa ada saya di sisi. Tapi apa boleh buat, demi kebaikan semua pihak, saya juga terpaksa akur, meskipun isteri adalah salah seorang kakitangan di situ.

Syukur alhamdulillah, baby selamat dilahirkan tepat jam 03.32am (08/08/2010). Terus terang saya sebak menahan sayu, hiba… terharu untuk semua perkara apabila melihat si kecil kurniaan Allah kepada keluarga kami. Cahaya mata yang membawakan rahmat dan sejuta harapan dari kedua pasangan ibu dan ayahnya… sebagaimana ibu dan ayah kita menginginkan kejayaan anaknya di masa hadapan… betulah juga dengan harapan kami berdua.

Babak Si Ayah dan tugasan pertama dan kedua di hari kelahiran.

Selesai sudah saat getir pengalaman seorang wanita melahirkan anak sulung. Bergelut antara maut dan keselamatan anak tercinta untuk dilahirkan. Apa yang bagusnya, Hospital PPUM adalah Hospital Mesra Susuan Ibu, sebaik anak dilahirkan… dan di susukan… kini tiba pula peranan dan tanggung jawab seorang ayah dalam melaksanakan amanatnya yang pertama. Sekiranya anak itu anak lelaki… maka kita akan disuruh supaya mengazankan anak tersebut. Manakala perempuan… akan di Qamatkan ke telinganya. Jadi saya tak perlu membawa sebarang susu formula kerana susu ibu lebih tinggi nilainya.

Selesai Muhammad Amirul Amin di azankan, saya menemani Cik Adik ke wad perpindahan selepas bersalin. Di sini, suami diberi masa selama beberapa minit sebelum diarahkan untuk pulang ke rumah. Sekali lagi kecewa di situ. Maka terpaksalah saya pulang. Meski hati bercampur-baur antara gembira dan berat hati meninggalkan Cik Adik keseorangan bersama baby, saya terpaksa juga akur untuk sekali lagi.

Sebelum balik saya dihadiahkan buah tangan dari pihak hospital untuk di uruskan. Pandai-pandailah uruskan. Tiada garis panduan dibentangkan oleh pihak hospital. Saya kurang pasti bagaimana kaum atau bangsa lain, tapi ini adalah apa yang dipraktikkan oleh Orang Melayu. URI!!! Mestilah di basuh oleh suami… sekiranya suami kurang berpengalaman atau mudah loya dengan darah… mungkin boleh dapatkan bantuan bidan atau ahli keluarga yang lain.

Tiada bidan… mahupun keluarga terdekat sebab yang ada pon adalah kakak saya. Dia sendiri pun mak mertua yang uruskan. Abang ipar pulak tak boleh bau darah… terus jatuh nak pengsan… Owh… sematkan dalam hati bahawa URI itu juga adalah hasil dari zuriat saya sendiri… jadi kenapa nak geli? Alhamdulillah, kebetulan mak saudara abang ipar ada di rumah. Dialah yang mengajar saya macam mana nak basuh uri.

Antara petua, amalan, kepercayaan dan jugak sunnah…. saya yakin masing-masing ada pendapat yang berbeza-beza. Untuk membasuh URI ni ada beberapa perkara atau perkakasan perlu di beli dan di siapkan.

  1. Garam kasar.
  2. Asam keping.
  3. Limau nipis (Lemon)
  4. Kain putih (kain putih mentah atau kain putih kafan)
  5. Tempat atau bekas untuk membasuh uri.

Inilah pengalaman saya membasuh sendiri URI anak pertama saya. Harap maklum… ini bukan rancangan masakan asam pedas ye. URI anak sendiri… tak molek la di serahkan kepada orang lain untuk di uruskan. Walhal dah memang takda orang yang boleh pada masa tu hehehe. Sebagai seorang ayah, sayalah yang bertanggung jawab untuk uruskan. Siap ambik gambar kau… tak percaya lagi….????

Selawat dibaca sebanyak 3 kali di dalam hati. Tempat membasuh seboleh-bolehnya di singki dapur. Tapi kalau dah singki penuh dengan pinggan manggkuk, maka tawakal sajalah dalam bilik air. Pastikan bilik air bersih dari najis. Buka plastik yang membungkus URI setelah selawat dibaca. Tanam dalam hati bahawa itu adalah hasil zuriat anda. Insyaallla, Tuhan akan permudahkan segalanya.

Syukur alhamdulillah… tiada sebarang panik… meloya.. takut setelah pembungkus URI dibuka. URI dimasukkan kedalam bekas dan kemudiannya dicucur dengan air supaya hilang terlebih dahulu darah yang masih cair. Adik-adik remaja sekalian… beginilah tumpahnya sebahagian darah ibumu. Itu cuma sekelumit jika dibandingkan semasa melahirkan kamu.

Seterusnya memerah limau nipis semasa membuang darah… limau nipis ini bertujuan untuk membuang bau hamis darah tersebut. Sekali lagi bersyukur… keberanian diberi oleh Allah untuk memegang dengan selambe dan membuang URI dari darah beku. Setelah siap di cuci… URI tadi akan diletakkan di atas kain putih menghala ke arah kiblat.. dan sekali lagi diselawat sebanyak tiga kali.

Ditabur garam dan asam keping untuk tujuan mempercepatkan proses penyejatan saki-baki darah. Waktu ini bau darah segera menusuk semula disebabkan garam tersebut… tapi ditangkis oleh asam keping yang menyerap lebihan air dan darah tadi.

Dibungkus dan di ikat dengan kemas, seterusnya diletakkan dalam bekas yang elok. Bekas ini ada sesetengah pendapat kata perlu ditanam sekali. Tetapi saya ditegah oleh beberapa jemaah surau ketika ingin menanam URI tersebut. Lantas lubang dikorek pada tempat yang agak strategik sedalam satu kaki lebih kurangnya. Tak boleh terlampau dalam dan tak boleh terlampau cetek.

Syukur alhamdulillah begitulah kisahnya… Kronoligi cerita hari pertama Muhammad Amirul Amin B. Muhamad Azman selesai. Dalam masa yang sama sebuah kesah perjalanan menguruskan URI anak sulung pertama. Kalau rasa nak pitam… cepat dail 999. Sila jangan buat laporan palsu dan sabitkan saya sebagai penyebab ye.

Nota: Konfem ade beribu TYPO dalam catatan kali ni. Kalau sapa rajin boleh la semak untuk saya beserta perenggan sekali ye.

Nota2: Kini ku bergelar seorang Papa, Daddy, Ayah, Abah dan Abi. Selamat Hari Bapa untuk diri sendiri. Syukur Ya Allah~

Nota3: Dengan secara rasminya saya terpaksa mengurangkan aktiviti sosial di dalam talian. Tapi sekiranya anda inginkan bantuan saya… saya tiada sebarang masalah untuk membantu. Tapi mungkin bantuan akan lewat tiba dari sepatutnya – Harap Maklum.

Nota4: Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih atas doa kalian semua para pembaca blog ini mahupon rakan-rakan di twitter dan seluruh pelusuk yang mengenali diri saya. Termasuk juga yang siap buat entri special sempena kelahiran Muhammad Amirul Amin, jasa baik kalian tiadak akan saya lupakan.